Isteri Menyesal Akibat Perbuatannya Terhadap Bekas Suami

Kisah ini adalah perkongsian isteri menyesal akibat perbuatannya terhadap bekas suaminya dulu. Pada mula-mula perkahwinan, memang hampir kesemua benda nampak indah dan bahagia. Tetapi, tidak semua perkahwinan itu akan indah sentiasa dan akan ada masanya kita akan diuji dengan pelbagai rintangan dan masalah dalam menjalani kehidupan seharian kita.

Isteri Menyesal Tak SudahApabila melihat keluarga lain mampu memiliki suami yang berkereta mewah dan dan mempunyai pekerjaan bagus dan tetap, mesti akan timbul perasaan sedikit cemburu dengan mereka. Siapa yang tidak mahu memiliki suami yang berkereta mewah, rumah besar dan pekerjaan yang tetap bukan.

Kisah perkongsian wanita ini boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua:

Usia 20 tahun, saya mula memasuki alam perkahwinan. Namun perhubungan kami kecundang di tengah jalan. Bekas suami berusia 22 tahun.

Hendak dijadikan cerita, baru 3 bulan berkahwin, saya disahkan hamil. Sepanjang kehamilan, saya terasa amat bahagia kerana bakal mendapat zuriat sebagai tanda cinta tidak lama lagi.

Bekas suami pada waktu itu, tiada pekerjaan tetap. Hanya melakukan kerja-kerjar kotor seperti membaiki rumah orang atau membaiki paip yang rosak, dengan gaji cuma RM20 pada waktu itu.

Bila anak sudah dilahirkan, keadaan mula berubah. Bukan bekas suami yang berubah, tetapi saya yang berubah hati. Tengok suami saudara mara semua memiliki kenderaan yang besar, ada kerja tetap. Menjadikan saya semakin jauh hati dengan bekas suami yang cuma bekerja dengan gaji RM20 sehari.

Dalam masa yang sama, saya rasa masih muda, anak ada seorang saja. Kalau menjadi janda pun, pasti masih ada yang mahukan diri ini. Budget hot macam ramai saja lelaki yang menunggu jika saya berstatus janda.

Saya rasa pada waktu itu, boleh dapat lelaki yang 10 kali ganda hebat dari bekas suami saya yang tidak punya apa-apa, yang hari-hari busuk dengan kerja kotornya, yang tidak handsome, tak stylo dan tak branded.

Akhirnya, bila otak dah bongok tak reti nak berfikir, saya paksa bekas suami ceraikan saya. Banyak alasan yang saya timbulkan termasuk cerita-cerita keburukan dia sewaktu bujang diungkit kembali.

Waktu itu, saya sudah tidak sabar lagi mahu bercerai sebab niat di hati nak mencari lelaki yang berada selepas bercerai. Malangnya, bekas suami enggan menceraikan saya sebab anak kami pada waktu itu baru berusia setahun. Dan setahun itu jugalah dia meroyan, kejar-kejar dan pujuk saya semula.

Tetapi, saya balik dengan maki hamun yang akhirnya membuatkan dia berputus asa.

“Semoga suatu hari nanti awak akan merasa apa yang saya rasa ketika awak tinggalkan saya,” katanya.

Sejak dari hari itu, dia berhenti mengejar saya sebab dia sudah dapat mencari pengganti saya. Waktu itu, saya tidak kisah pun. Iyalah, dengan fikiran siapalah perempuan yang bodoh nak lelaki yang miskin seperti itu.

Isteri Menyesal Derhaka Pada Suami

Sekarang, selepas bercerai hampir 12 tahun, saya masih lagi menjanda. Padan muka saya. Acah-acah hot sebelum ini. Bukan tak ada pengganti, ada tetapi bercinta sekejap dan putus. Sebab apa? Sebab bekas tunang terkantoi ber’mama’ ‘papa’ dengan perempuan lain dalam handphone yang saya jumpa tersorok dalam keretanya.

Bila sudah tua begini, baru terfikir inilah balasan untuk isteri derhaka, tak mengenang budi, tak reti bersyukur dan segala apa yang telah saya lakukan pada bekas suami. Berganda-ganda balasan yang saya dapat. Sakit, kecewa, terluka semenjak menjadi janda.

Pengajarannya di sini, siapa pun suami kita, wangi ke, busuk ke, miskin ke, tak handsome ke, hargailah suami anda dan hormatlah dia selagi dia bersungguh-sungguh menyayangi anda dengan anak-anak. Kifarah itu ada.

Sekarang, dengar cerita bekas suami sudah bahagia. Anak pun sudah lima orang. Sungguh saya kesal tidak dapat kembali ke pangkuannya.

Oleh itu, apabila membuat keputusan yang melibatkan masa depan keluarga dan rumah tangga anda, janganlah terlalu mengikut perasaan dan fikirkan untuk jangka masa yang panjang. Lebih-lebih lagi jika si dia (isteri/suami) tidak membuat apa-apa kesalahan besar terhadap diri anda. Jangan disebabkan terlalu mengikut hati dan perasaan, anda akan menyesal di kemudian hari dan ketika itu anda mahu berpatah balik pun sudah tidak boleh lagi. Kisah isteri menyesal dengan perbuatannya ini harus dijadikan pengajaran untuk kita semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *